"Allahumma Ballighna Ramadhan.
Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'ban,
dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan "
Beberapa hari lagi menjelang,tibalah bulan Ramadhan.
Adakah bulan ini menjadi simbol keraian atau sekadar adat tahunan?
Ini yang perlu kita teliti dan fahami.
Kepada seorang musafir yang dahagakan air di tengah perantauan
yang panjang inilah detiknya buat hilangkan sisa dahaga.
Kepada perantau yang sesat tanpa arah tujuan inilah jalannya
membetulkan haluan yang tersasar.
Sudah tentu bagi Si Abdi hatinya penuh dengan bebunga keriangan.
Manakan tidak, ibadah sehari mampu menyamai ibadah seribu bulan.
Seorang pekerja yang bekerja ikhlas kepada tuannya akan menerima
ganjaran yang setimpal dengan usahanya.Di kala zaman Rasulullah
seorang sahabat bertanya : "Apakah itu malam Qadar wahai Rasulullah?".
Baginda menjawab: "Tidak, tidakkah kamu mengetahui
bahawa para pekerja, apabila mereka selesai dari pekerjaannya,
nescaya akan dibayar upahnya".
(Hadis Hasan, Riwayat al-Baihaqi dalam kitab Syua'b al-Iman: 3450)
Hati ini berdesir seketika, di sebalik singkapan Ramadhan,
kebanyakan umat Islam tampaknya sering lalai dan lupa.
Mereka merasakan bulan Ramadhan ini hanyalah sekadar berpuasa.
Kita dapat melihat sendiri di negara kita ini.Bukan ganjaran pahala
diutamakan namun santapan makanan didahulukan.Bukan masjid
diimarahkan malangnya pasar ramadhan jadi tumpuan. Bukan Al-quran
jadi peneman, namun tidur yang diimpikan. Namun di sini sebenarnya
saya ingin katakan bukan semuanya masyarakat Malaysia yang beragama
Islam begitu namun kebiasaan fenomena atau situasi, inilah yang terjadi.
Jika begitu dimana kemeriahan Ramadhan ?Di mana keindahan nya?
Adakah ia terletak pada makanan.Atau ganjaran pahalanya?
Ayuh kita fikirkan bersama.
Sesungguhnya bulan Ramadhan ini hanyalah sekali sahaja setahun.
Ia datang ibarat turunnya kepingan emas dari langit selama
30 hari tanpa henti. Adakah kita hanya ingin menangguk dagu sahaja?
Sudah tentu kita akan melakukan sesuatu untuk meraihnya ,bukan?
Sebab apa saya katakan begitu kerana bilah-bilah hari kehidupan
kita sebenarnya semakin sedikit dari sehari ke sehari, kita tidak tahu detik
bila kematian kita. Mungkin inilah Ramadhan yang terakhir buat
diri kita. Ayuh jangan lepaskannya!
Rasulullah sememangnya sebaik-baik ikutan sepanjang zaman.
Baginda tidak akan membiarkan umatnya terkapai-kapai dalam lembah
kejahilan. Sudah tentu ada panduan dan pedoman yang diselitkan
terutamanya dalam mengecap kemanisan Ramadhan.
Pertama, awasi dirimu agar sentiasa menjaga perkara wajib dan fardhu.
Andai dulu solat fardhu dilewatkan tapi kini disegerakan ,andai dulu zakat
dilupakan tapi kini hadir sebagai penyumbang budiman.Andai dulu puasa
ditinggalkan namun kini dicukupkan kiraan.
Kedua, perbanyakkanlah olehmu amalan-amalan sunat yang mampu
menampung dosa dan kesumat.Jadikanlah di bulan ini titik mula perubahan.
Bila lagi kita ingin bergerak ke arah satu dimensi yang lebih indah iaitu
di bawah payung mahabbah Allah.Oleh itu, jadikanlah kitabul Quran
sebagai peneman, Qiamullai itu sebagai rutin harian, zikir kepada
Allah sebagai bualan dan amalkan sedekah yang berterusan.
Ketiga,hindari dirimu ke jurang perbuatan haram kerana ianya mampu
memusnahkan binaan amalan kebaikan. Jagalah hati daripada dikotori,
kerana ia adalah raja. Jagalah mata daripada dosa, kerna ianya
pemula nestapa. Jagalah mulutmu daripada umpat dan cela kerna
ianya punca bahaya. Jangan sesekali kita biarkan anggota kita melakukan
maksiat, kerana ianya hanyalah pinjaman. Bila- bila sahaja nikmat ini
boleh ditarik. Janganlah kalian berasa hairan kerana ia bukan milik
kita yang hakiki tetapi ianya adalah milik Allah yang abadi.
Keempat, elakkanlah dirimu daripada melakukan perkara makruh
kerana Allah membencinya. Misalnya, mendedahkan rongga-rongga anggota
badan yang terbuka kepada perkara-perkara yang membatalkan puasa
seperti lubang mulut, telinga, hidung dan dubur. Ketika berkumur awasilah
jangan berlebih sehingga tertelan.
Terakhir, di bulan yang mulia ini marilah kita menghayati dan
meneliti kebesaran Allah yang maha luas. Ucaplah SubhanAllah,
Alhamdulillah, Allahuakbar, sebagai tanda kehambaan. Alangkah
banyaknya nikmatmu kenapa ramai manusia yang masih buta akal
dan mata hatinya. Daripada penciptaan manusia hinggalah kejadian
cakerawala. Daripada ciptaan laut yang luas terbentang hinggalah
gunung yang dipasakkan. Andai kita mengkaji kita akan mengerti,
semakin kita belajar semakin kita melihat Allah itu maha besar.
Namun satu persoalan yang masih belum terlerai. Mengapa Masih
Ada Manusia Yang Mendustakan?
Di bulan yang Barakah ini ayuh kita perbaiki diri kita kearah
daerah yang lebih tera rah iaitu ke landasan ajaran Islam yang sebenar.
Ramadhan ini boleh dikatakan sebagai madrasah tarbiyah. Jika sebelumnya
kita seorang yang mudah terbakar namun selepasnya kita menjadi
seorang yang sabar, jika sebelumnya kita seorang yang kedekut tetapi
selepasnya segala sumbangan kita sambut, dan jika sebelumnya kita
seorang pembuat maksiat namun selepasnya kita menjadi seorang
ahli ibadat. Semoga perkongsian ini mampu menjana usaha kita
ke arah memperoleh kemanisan Ramadhan.
Alangkah indahnya Ramadhan jika begini.
No comments:
Post a Comment