Sunday, 10 July 2011

Amal doa pagi, petang atasi masalah jiwa

Imam Muhammad Mutawalli Asy-Sya’rawi menjelaskan dalam
kitab beliau Anta Tas’alu wa Islaamu Yujiibu seperti berikut:
“Orang beriman menghadapi tiap persoalan kehidupan dunia
dengan memohon pertolongan Allah dan bertawakal 
kepada-Nya. Apabila ia gagal mencapai apa yang dicita-cita,
ia tidak susah hati dan bersedih meskipun ia sedar bahawa
kegagalan itu adalah kerana persediaan 
yang kurang sempurna.

Orang yang tidak beriman bergantung nasib dalam usahanya kepada 
kesempurnaan persediaan. Apabila gagal, dia gelisah, fikirannya terganggu, 
hatinya risau, takut yang menyebabkan sakit jiwa dan akhirnya bunuh diri. 
Keadaan seperti ini banyak kita jumpa di negara maju bukan Islam. 
Negara seperti ini ramai rakyatnya terkena gangguan jiwa. 

Lalu orang pun bertanya mengapakah di negara maju berlaku ramai 
yang menghidap gangguan jiwa? Bukankah yang sepatutnya kena adalah 
masyarakat di negara yang sedang berkembang atau negara yang mundur?

Mereka iaitu orang yang mengabdikan diri dengan ilmu pengetahuan dan 
membuang agama dari diri. Apabila keimanan lenyap dari jiwa manusia, 
akan lenyaplah ketenangan, ketenteraman, kebahagiaan dan rasa reda.

Apabila jiwa kosong dari iman, lalu ia terjun ke dalam perjuangan hidup 
untuk memiliki kekuasaan dan ia gagal, maka mudah saja ia terkena 
gangguan jiwa dan menjadi gila. Seorang Muslim yang tidak memiliki iman 
yang kuat, mudah terkena penyakit itu. Dalam kesibukannya ia lupa 
kepada Allah SWT lalu Allah SWT pun melupakannya.

Yang dikerjakan dan diusahakannya hanyalah mengumpul harta dan 
hidup mewah. Apabila lupa itu dibiar berlarutan tanpa cuba diatasi, ia akan 
membawa kepada kufur akan nikmat Allah, lalu ia akan lupa diri, 
hilang kebahagiaan atau mudah sakit jiwa.

Nabi SAW menyuruh umatnya agar mengamalkan doa pagi dan petang 
bagi mengatasi masalah jiwa, antaranya seperti diriwayatkan oleh Abu Daud, 
daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a iaitu:
“Allahumma inni a’uzubika minal hammi walhazan. 
Wa’a’uzubika minal ‘ajzi wal kasal 
wa’a’uzubika minal jubni wal bukhli, 
wa ‘a’uzubika min ghalabatid daini waqahrir rijaal 
(yang bermaksud: Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada 
rundungan sedih dan duka. Aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah 
dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. 
Aku berlindung kepada-Mu dari beban hutang dan penindasan orang).”

Kedua, hendaklah mendekati al-Quran dengan membaca, memahami dan 
berusaha mengamalkannya dalam kehidupan nescaya anda akan menemui 
kebahagiaan bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat.

Al-Quran adalah penyembuh yang paling berkesan mengubat penyakit jiwa 
seperti firman-Nya dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud: 
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran 
yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar 
bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga 
menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi 
orang yang beriman.” Demikianlah, wallahua’lam.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...