Friday, 9 September 2011

Amalkan makan berpada, status kesihatan ketika musim perayaan

Selepas sebulan melatih diri berlapar & dahaga serta mendisiplinkan
tubuh kerana berpuasa, kehadiran Aidilfitri menyaksikan ramai
kembali bebas mengamalkan diet asal. Malangnya, diet asal itu
menjadi lebih berat apabila perut ‘dikejutkan’ dengan pelbagai
hidangan sarat di rumah terbuka atau ketika mengunjungi rumah
sanak saudara, termasuklah pada hari ini.

Aktiviti menziarahi sanak saudara juga bermakna setiap kali
mereka akan makan dan minum menyebabkan jumlah pengambilan
makanan seharian berganda. Selain juadah yang mewah minyak
dan lemak, minumannya pula terlebih manis dalam bentuk air
berkarbonat.

Kat sini sayakongsikan beberapa tips yang boleh dipraktikkan..

Tip diet lebaran


·  Kekalkan pengambilan karbohidrat kerap tapi berpada.
·  Elakkan sikap pantang jumpa dan suka mencuba makanan baru.
·  Pesakit yang mengambil ubat kencing manis, darah tinggi 
   atau kolesterol, boleh mengubahsuai ubatan     mengikut diet
   yang sesuai.
·  Paling utama, amalkan disiplin diri. Tidak salah untuk menjamu
   selera pada hari raya, tetapi hadkan pada hari pertama saja.  
   Janganlah pula amalan itu berterusan selama sebulan.
·  Masuk hari kedua, buatlah pengubahsuaian terutama pesakit  
   yang mengambil insulin dan perlu menjaga kadar gula dalam
   darah.
·  Elakkan memakan banyak makanan berlemak dan tinggi
   karbohidrat.


Kurang gula, garam, minyak

Gula sebenarnya boleh wujud secara semula jadi (dalam buah-
buahan, sayur-sayuran berkanji, susu dan hasil tenusu) atau
secara tersembunyi (gula yang ditambah semasa memproses
makanan dan semasa memasak di rumah. Contohnya minuman
ringan, minuman kordial, minuman bergula, gula-gula serta kuih-
muih tradisional).

Mengurangkan gula

Perlu diingat, pengambilan gula yang sederhana dalam sehari
adalah dalam lingkungan 10 sudu teh (50 gram) termasuk bagi
gula semula jadi atau gula tersembunyi. Namun gula dalam
minuman adalah amat berbahaya kerana badan kita tidak
dapat tukarkan gula ini kepada tenaga. Gula yang terkumpul
 ini akan ditukar kepada lemak yang menyebabkan seseorang
 itu gemuk dan berisiko mengidap penyakit seperti diabetes
dan penyakit jantung. Gigi juga boleh rosak.

Mengurangkan garam

Garam diperlukan dalam menyedapkan juadah makanan.
Tetapi pengambilan garam secara berlebihan membahayakan
kesihatan. Kita memerlukan garam dalam kuantiti yang sedikit.
 Ini kerana garam yang berlebihan berkait dengan tekanan
darah tinggi. Jadi, sepanjang lebaran pastikan tidak
 menggunakan garam secara berlebihan. Selain itu, bahan-
bahan makanan seperti herba (kayu manis, bunga cengkih,
bunga lawang) boleh juga dijadikan pengganti dalam
menyedapkan juadah. Bahan-bahan seperti ini kurang
bahan perisa dan ia juga mempunyai khasiat tersendiri yang
 baik untuk kesihatan.

Mengurangkan minyak

Apabila menjelang lebaran, masyarakat kita banyak
menggunakan minyak dalam masakan. Ini ditambah pula
dengan penggunaan santan untuk membuat rendang
sedangkan minyak yang berlebihan dalam masakan boleh
 mengundang penyakit. Untuk rendang, cuba elakkan
menggunakan minyak masak. Cukuplah hanya
menggunakan santan sahaja kerana santan boleh
bertindak sebagai minyak. Jadi, apabila minyak dan
santan digunakan sekali, ia menyebabkan minyak
berlebihan.

Melebihkan buah-buahan

Makanan ini sering dilupakan semasa menghidang juadah
 semasa lebaran. Apa kata, gunakan buah-buahan untuk
 dijadikan pengganti pemanis mulut. Buah-buahan pelbagai
rasa, warna, bentuk dapat menarik tetamu. Lebih menarik,
 ia kaya vitamin C yang amat diperlukan badan.

Melebihkan sayur-sayuran

Selain hidangan daging dan ayam, sayur-sayuran yang
kaya serat dan zat mineral ini juga boleh dijadikan juadah.
 Ini kerana kandungannya itu amat penting bagi tubuh dan
 sistem penghadaman. Kehadiran serat ini dapat membantu
 mengurangkan tahap kolesterol darah. Sehubungan itu,
hidangan sayur-sayuran amat penting semasa menikmati
 juadah lebaran kerana dapat mengimbangi diet kita
terutama sekali tahap kolesterol darah yang terhasil
daripada pengambilan daging dan ayam. Misalnya,
semasa memasak mi goreng, lebihkan sayur-sayuran
sebagai rencah utama. 


Sumber :  Kementerian Kesihatan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...