Beberapa tips dalam merebut pahala dan kelebihan malam Lailatul
Qadar :
1. Bersedia untuk merebutnya dari sekarang terutama disegi keyakinan,
kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender
harian agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk
tujuan itu semata-mata; tidak untuk kesibukan lain.
2. Memahami bahawa dimana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita
di dunia ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah
kepada Allah S.W.T dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk hari
(Akhirat) yang tiada gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan
orang yang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera.
3. Putuskan dari sekarang masjid mana yang akan kita gunakan untuk
iktikaf, siang dan malam, samada sebahagian atau 24 jam sehari.
Pastikan AJK masjid tersebut memahami ibadah iktikaf dan qiyamullail
10 malam terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan
mereka yang tidak memahaminya.
4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut
secara berjemaah.
5. Jika anda bekerja di bawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan
dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika anda
tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba berktikaf di masjid
sepenuhnya dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad.
6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau
assignments dari sekarang agar tidak tertimbun pada 10 malam
terakhir Ramadan. Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak
disibukkan mencari tiket nanti.
7. Bersedia untuk Aidil Fitri lebih awal agar kita tidak disibukkan
nanti dengan membeli belah, memasang langsir, membuat kuih-muih,
menyiap atau menjahit pakaian Raya dan sebagainya seperti yang
sering berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan
menghayati kelebihan 10 malam terakhir Ramadan.
8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada
seseorang bahkan pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa
yang ada di dalam diri masing-masing. Madrasah 10 Malam
Terakhir Ramadan yang bakal dilalui boleh turut membantu
mencapai ke arah perubahan tersebut.
Semoga Allah mengurniakan ketaqwaan kepada kita setelah
menjalani ibadah di bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti
dengan beroleh rahmah, keampunan dan selamat dari api neraka.
Amin.
No comments:
Post a Comment