Wednesday, 10 August 2011

Renungan : Gambaran Hari Kiamat


*Pesanan : Belajarlah menghabiskan pembacaan sehingga titik akhir. 
Itu ciri manusia berguna.
 
Gambaran Hari Kiamat ...
Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti 
tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati 
kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun 
mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya 
sendiri.
 
Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya 
“Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjwb. 
Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan 
Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan 
kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi 
Maha Kekal Hidup, tidak mati.
 
Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya 
meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup 
semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama 
padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
 
Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut
“Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. 
Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar 
dari biji benih.
 
Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang 
dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati 
mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan 
yang akan mereka hadapi kelak.
 
Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti 
guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat 
perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan 
(bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) 
dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu,
ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia 
sibuk memikirkan nasib mereka.
 
Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan 
dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan 
tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
 
Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat,
lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. 
Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan 
suaranya yang menakutkan.
 
Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang 
berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada 
sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari 
naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya 
seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi 
kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh 
sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam 
mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan 
mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
 
Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama 
Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh 
orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh 
malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus 
selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar 
satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi,
warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. 
Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
 
Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik 
kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. 
Mereka ialah:
 
- Pemimpin yang adil.
- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana 
      Allah.
- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak 
      dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui 
      orang ramai).
- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir 
      air matanya kerana takutkan Allah.
 
Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua 
manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, 
kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para 
Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali 
kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha 
mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada 
melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu 
kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi 
Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi 
Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak
masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
 
Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah 
SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
 
Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga 
menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan 
turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 
orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 
ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga
‘Arasy itu tiba dibumi.
 
‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah 
(bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa 
dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa
mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang 
menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun 
yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
 
Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang 
dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih 
kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa
mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
 
Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu 
dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan 
masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya
tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk 
dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib 
& ‘Atid / Kiraman Katibin.
 
Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- 
masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka 
yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk 
dibezakan.
 
Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad 
SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan 
hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan 
darah.
 
Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat 
akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya 
mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan 
tangan kiri jika orang bukan mukmin.
 
Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu 
Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang
mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang
pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
 
Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam
4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
 
Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, 
maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk
tetap akan ditimbang.
 
Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata-
kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. 
Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
 
Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada 
orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang 
sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan 
dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
 
Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
 
- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan 
      mempercepatkan hisab.
- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari 
      neraka(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
 
Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh 
Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka
ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 
70 000 orang yang lain.
 
Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga
melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang 
terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti 
sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. 
Bg orang mukmin ia akan dilebarkan & dimudahkan menyeberanginya.
 
Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 
15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 
tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti
angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak 
dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki 
mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
 
Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap 
makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang 
sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam
neraka.
 
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin 
Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
 
Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah
ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW:  
Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. Sesungguhnya 
apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan 
dibawanya bersama :
  Sedekah/amal jariahnya. 
Doa anak²nya yang soleh.
Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.
 
Kau tundukan hatiku yang degil sujud sesujudnya pada mu... Ya Allah 
Ya Rabb .... berilah aku kekuatan hati dan keteguhan iman.... Ya 
Tuhanku Allah yang maha besar lagi maha mengetahui Ampunkanlah 
segala dosa bagi pendosa ini (yang bernama aku) ya Allah sesungguhnya
kepadaMu aku meminta pengampunanmu dari dari awal kejadianku 
hingga ke akhirnya... Amin!..

Sekadar berkongsi ilmu yg berguna...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...