Monday 5 September 2011

Ramadan Dinanti, Syawal Dirai: Imam melatah 'opocot mak kau'

pix_gal0
PERISTIWA tok imam terkejut sehingga melatah ketika sedang mengimamkan
sembahyang di masjid kerana terkejut dengan bunyi dentuman mercun
menjadi kenangan paling melucukan penyair Melaka, Syahril Azrul Har, 27.

Syaril atau nama penanya, Amni Jagat, 27, dan makmum lain yang sedang
berjemaah tidak dapat menahan ketawa apabila imam melatah sehingga
terpacul perkataan ‘opocot mak kau’ sehingga sembahyang seluruh jemaah
terbatal.

“Kami ketawa pecah perut ketika itu kerana bukan saja terkejut dengan
bunyi mercun dalam masjid yang dibaling remaja nakal, tetapi juga kerana
imam melatah sedangkan kami sedang bersembahyang.

“Imam yang begitu marah akhirnya keluar masjid untuk memarahi remaja
nakal yang sengaja membaling mercun ke dalam masjid, tetapi mereka
lebih dulu memecut motosikal sepantas kilat untuk menyelamatkan diri.

“Kasihan imam yang bengang dengan peristiwa itu mengarahkan bilal
menggantikan tempatnya dan sudah pasti peristiwa yang berlaku pada
petang Ramadan terakhir dan ketika kami sedang seronok untuk
menyambut Syawal itu kekal dalam ingatan setiap daripada kami sehingga
kini,” katanya ketika dihubungi Sastera.

Akibat peristiwa lucu itu, semua jemaah terpaksa bersolat sekali lagi dan
kali ini tok bilal pula menggantikan tempat imam yang nampak keletihan
akibat melatah panjang dan perasaan terkejutnya yang lambat reda.

Amni yang ketika itu sudah berada di sekolah menengah tidak kurang
nakalnya seperti remaja lain dan sering membuat bising hampir setiap
malam menjelang Aidilfitri dengan mereka cipta mercun buatan sendiri
dan bermain perang-perang bersama-sama rakan di kampung.

“Saya bernasib baik kerana tidak pernah ditimpa sebarang kecelakaan
semasa bermain mercun. Saya dan rakan-rakan mendapat ilham
daripada filem Bukit Kepong, serta bermain perang-perang dengan
membayangkan seolah-olah kami sedang bertempur menentang
pengganas komunis,” katanya yang kini sedang ligat menyiapkan
novel terbaru, Anca Dayanti.

Tidak cukup dengan itu, Amni dan rakan-rakan meniru watak Jins
Shamsuddin dalam filem itu dengan menggunakan dialognya pada
babak pertempuran dengan komunis sehingga kadangkala terasa
lucu dan menyebabkan dirinya ketawa terbahak-bahak.

Sian pak imam..


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...