Sunday 10 July 2011

Larangan memakai gelang kaki berloceng..

Soalan :

SAYA ingin mengetahui dengan lanjut pemakaian gelang kaki bagi
wanita Islam yang mana bunyi loceng itu terlalu kuat sehingga
menarik perhatian rakan sekerja lain untuk berpaling melihat ke
arahnya?

Adakah salah jika saya memakaikan gelang kaki kepada anak
perempuan saya yang berumur tiga tahun? Tujuan saya
memakaikannya gelang adalah kerana mudah untuk memantau
pergerakannya di rumah.



Jawapan :

SETIAP Muslim dan Muslimah hendaklah menjaga tata cara
pergaulan dan pemakaian apabila berhubung dengan bukan
mahram seperti di tempat kerja.

Paling utama dalam hal pemakaian kerana cara berpakaian dapat
menarik perhatian orang lain yang bukan mahram. Memakai gelang
kaki bagi wanita Islam dengan bunyi loceng itu terlalu kuat sehingga
menarik perhatian rakan sekerja yang lain untuk berpaling melihat
ke arahnya dikira bercanggah dengan tata cara pemakaian dan
pergaulan seorang wanita Muslimah dan Mukminah.

Itu sebabnya ia dihukum haram apabila bertujuan sedemikian
dan pemakaian hiasan sedemikian perlu dielakkan. Ini jelas apabila
al-Quran menggariskan berkenaan tatacara bergaul dan berpakaian
seorang wanita Islam iaitu: “Dan katakanlah kepada perempuan-
perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka
(daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka;
dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali
yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan
leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami
mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-
anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara
mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi
saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan
Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki
yang telah tua dan tidak keinginan kepada perempuan, atau kanak-
kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan
janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang yang
belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka
menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang
tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu
sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya
kamu berjaya.” (Surah al-Nur (24): 31)

Dalam ayat ini, kita boleh simpulkan termasuk dalam ‘menghentak
kaki’ ialah memakai gelang berloceng dan memakai kasut bertumit
keras sehingga mengeluarkan bunyi.

Islam melarang perbuatan itu kerana ia menarik perhatian orang
sehingga terserlah perhiasan diri seseorang wanita. Manakala
memakai gelang kaki berloceng bagi anak-anak perempuan yang
masih kecil dan bertujuan untuk pengawasan pula adalah harus.

Ia tidak termasuk dalam larangan di atas kerana tidak bertujuan
menarik perhatian lelaki dan usianya masih kecil.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...